Mangsa Scammer : Labur RM2,000 ‘untung’ RM200j Dalam Skim Pelaburan Self Made Millionaire Group (SMMG)

Gambar : Harian Metro

TERDESAK mendapatkan wang segera untuk meneruskan perniagaan menjadi antara punca seorang wanita terjebak dengan skim pelaburan haram SMMG.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Salbiah, 45, berkata, dia didatangi rakannya yang dipercayai ejen kepada skim berkenaan dengan menawarkan skim pelaburan yang bakal memberi pulangan jutaan ringgit.

Menurutnya, disebabkan mahu mendapatkan wang segera, dia terpesona dan membuat keputusan untuk melabur RM2,000 dengan harapan bakal mendapat keuntungan lebih RM200 juta.

“Walaupun pada mulanya sangsi namun saya berjaya diyakinkan kerana ditunjukkan beberapa surat perolehan dana yang bakal diagihkan kepada pelabur dalam tempoh tiga bulan.

“Rakan saya memaklumkan dana diagihkan itu kelak diperoleh konon hasil pelaburan pengasas SMMG bergelar Datuk di sebuah bank pelaburan terkenal yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat,” katanya.

Namun katanya, selepas tiga bulan, tiada perkembangan mengenai pelaburan dibuat, malah rakannya itu masih aktif memperkenalkan pelbagai dana baharu menerusi kumpulan WhatsApp.

Katanya, pelbagai alasan antaranya duit berkenaan kini berada pada peguam dan hanya menanti kebenaran BNM untuk diagihkan kepada pelabur.

“Selepas mendengar alasan tidak munasabah, saya percaya ini helah sindiket skim mengaburi mata mangsa agar tidak mencurigai penipuan yang dilakukan.

“Saya juga berpeluang berkomunikasi dengan seorang lelaki mendakwa dirinya pengasas skim namun tiada jawapan konkrit diberi apabila ditanya mengenai pelaburan dan hasil yang dijanjikan kepada pelabur.

“Malah, lelaki itu sering menggunakan agama sebagai ‘penampan’ daripada terus diasak pelbagai soalan. Selepas itu, dia menghilangkan diri dan tidak respon,” katanya.

Beliau berkata, laporan polis dibuat dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sudah membuka kertas siasatan berhubung skim ini selain mengumpul bukti untuk mengesan suspek.

Salbiah berkata, tidak cukup dengan itu, anggota skim turut memperkenalkan beberapa nama skim baharu selepas menyedari SMMG kini dalam radar siasatan pihak berkuasa.

“Saya bimbang mangsa enggan buat laporan polis kerana anggap modal yang hilang sedikit, tetapi bayangkan jika sindiket ini menipu ribuan orang. Sudah pasti keuntungan mudah diperoleh mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Artikel ini disiarkan di laman hmetro.com.my pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 10:10 AM